Sunday, October 19, 2008

GADIS PALING CANTIK


Gadis paling cantik

Jalan menuju kecantikaN
Bunga atau mutiara
?

Tajuk yang indah ini menarik perhatian saya ketika saya membaca satu soalan yang ditujukan kepada para gadis: “Adakah anda bunga atau mutiara?” Bunga cantik, begitu juga dengan permata. Mana satukah yang anda pilih? Ya, bunga baunya wangi, warnanya cantik, menggoda dan menarik, manakala permata tinggi harganya dan cantik juga.

Tetapi, bunga umurnya pendek. Cepat layu jika dipanah terik matahari atau diganggu oleh tangan manusia atau binatang. Mungkin ada orang memetiknya, lalu ia akan layu dengan cepat. Umur bunga sangat pendek.

Sedangkan permata akan kekal kelihatan cantik selama-lamanya jika ia terus berada di dalam cenkerangnya. Ia tidak bersinar melainkan kepada yang berhak dan layak.

Kedua-duanya cantik tetapi kecantikan mutiara berkekalan sementara kecantikan bunga hanya sementara. Demikian juga dengan para gadis. Gadis yang tidak menutup aurat cantik tetapi ia sama seperti bunga. Manakala gadis yang menutup aurat dengan sempurna adalah mutiara yang amat cantik. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Oleh itu wahai saudariku! Wahai orang-orang yang merindui syurga dan merindui para pemuda di dalamnya yang kekal abadi serta kenikmatan yang berpanjangan! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya!

Setiap gadis yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya, Muhammad saw sebagai nabinya dan Islam sebagai agamanya hendaklah memerhatikan firman Allah swt (surah Ali ‘Imran ayat 102):

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maksudnnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

Kembalilah!
Islam bererti menyerah, menerima serta tunduk kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan dan reda.

Apakah yang Allah swt perintahkan kepada anda wahai muslimah?! Dia memerintahkan anda supaya menutup aurat. FirmanNya (surah al-Nur ayat 31):
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: “...dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka...”

FirmanNya lagi (surah al-Ahzab ayat 36):

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ
Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.”

Jika benar anda muslimah, ini bererti anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah. Jika anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah, kenapa anda tidak menutup aurat anda?

Aku memohon bantuanMu, wahai Tuhan!
Daripada sekeping hati yang cintakan kebaikan bagi anda dan bercita-cita agar anda mengecapi kemanisan iman... daripada sekeping hati yang bimbang anda akan berjauhan daripada Allah... yang bimbang hati anda menjadi gelap... yang bimbang keburukan-keburukan yang akan mencacatkan lembaran amalan anda hasil daripada pandangan nakal para pemuda dan pemudi yang menjadikan anda sebagai ikutan kerana tidak menutup aurat, meskipun hati anda dipenuhi dengan segala kebaikan... meskipun segala kebaikan yang anda lakukan, daripada kepingan hatiku ini, saya mengharapkan kebaikan untuk anda. Kuatkan semangat dan bermulalah dari sekarang! Ucapkanlah “aku memohon bantuanMu, wahai Tuhanku! Bantulah daku menghadapi diriku sendiri dan godaan-godaan dunia... Aku bertawakkal kepadaMu, wahai Tuhanku. Engkaulah segala-galanya bagiku... Tiada Tuhan bagiku selainMu. Maka perelokkanlah seluruh hal ehwalku.”

Renungan
Sekarang saya tujukan perkataan ini pula kepada setiap wanita yang telah memakai tudung. Ia adalah seruan agar setiap wanita yang telah memakai tudung agar mereka berdiri di hadapan cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri: “Adakah tudung saya ini bersesuaian dengan kehendak Allah? Adakah akhlak saya bertepatan dengan kehendak Allah.” Sesetengah wanita yang telah memakai tudung menyangka dengan meletakkan secebis kain di atas kepalanya itulah segala-galanya, sedangkan dia memakai pakaian yang sempit dan jarang serta tidak menjaga akhlak dan adab Islam. Pernah terjadi seorang ibu mengadu tentang seorang anak perempuannya yang memakai tudung, tetapi menanggalkannya ketika berada di tepi pantai, tidak sembahyang dan tidak melayan ibunya sebagaimana selayaknya sebagai seorang ibu.

Maka ketahuilah wahai wanita yang telah memakai tudung bahawa tudung anda bukanlah segala-galanya. Jika benar anda memakainya kerana mahu mendapat keredaan dan kecintaan Allah serta kerana mentaatiNya semata-mata, maka sekali lagi ketahuilah bahawa tudung adalah pakaian Islam yang mempunyai beberapa syarat. Tudung juga adalah akhlak dan adab serta membantu anda untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Katakan tidak!
Saya menyeru kepada anda wahai muslimah untuk berkata tidak kepada:
Pakaian yang sempit dan jarang.
Pakaian yang mendedah aurat di tepi pantai, di majlis-majlis keramaian dan di mana-mana sahaja.
Wangi-wangian dan solekan.
Seluar sendat yang menyakitkan mata dan hati setiap orang yang cemburukan agamanya kerana melihat para gadis memakainya dengan begitu bersahaja tanpa menyedari kesannya terhadap para pemuda.

Saya menyeru anda wahai muslimah untuk memerhatikan diri anda di dalam cermin sebelum anda keluar rumah. Perhatikan dari depan dan belakang... Adakah pakaian anda bertepatan dengan kehendak Allah?

Bagaimana sepatutnya pakaian anda?

Hendaklah menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan.
Tidak jarang. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Akan ada di kalangan umatku nanti wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang. Kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan memperoleh baunya.”
Tidak sempit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malu dan iman adalah beriringan.”
Tidak disapu dengan bau-bauan.
Pakaian itu sendiri bukan perhiasan. Firman Allah swt (surah al-Nur ayat 31) yang bermaksud: “... dan janganlah mereka (wanita-wanita yang beriman) memperlihatkan perhiasan mereka...”

Anda di dalam syurga

Wahai muslimah! Wahai mukminah! Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.” Wahai wanita yang tidak memperlihatkan perhiasannya kerana Allah sedang dia difitrahkan suka kepada perhiasan, dengarlah sabda Rasulullah saw berkenaan sifat wanita-wanita dunia di dalam syurga kelak. Sabda baginda saw yang bermaksud: “Dengan sembahyang, puasa dan ibadat mereka kepada Allah swt, Allah menghamparkan cahaya di atas muka mereka dan memakaikan sutera berwarna putih, pakaian berwarna hijau dan perhiasan berwarna kuning di atas badan mereka. Dapur mereka adalah mutiara dan sikat mereka adalah emas. Mereka berkata: “Kami kekal abadi dan tidak akan mati. Kami penuh kelembutan, sama sekali tidak menyusahkan. Kami akan terus muda, tidak tua selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kami sentiasa redha, tidak marah sama sekali.
Bergembiralah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memiliki mereka.” (Riwayat al-Tirmizi)

MADRASAH MALAM SEORG DAIE

Dakwah Islam hari ini tidak akan dapat ditegakkan selagimana para da’inya tidak menyalakan obor mereka pada waktu malam. Cahaya dakwah juga tidak akan dapat bersinar dan memecahkan kegelapan jahiliyah kurun dua puluh selagimana ia tidak melaungkan ‘ya qayyum’.
Bukan kami orang pertama mengatakan ini. Sebenarnya ia adalah wasiat Imam Hasan al-Banna ketika beliau berkata kepada para da’i:“Minit-minit malam amat berharga. Janganlah kamu menjadikannya tidak bernilai dengan kealpaan kamu.”
Adakah kita sedar keperluan untuk mengembalikan semula ciri utama ini? Atau adakah kita telah terpedaya dengan ijtihad baru yang memungkinkan kita bermudah-mudah dan bermalas-malas?Sesungguhnya kata-kata Allah tidak berubah. Tetapi kita telah memurahkan minit-minit malam yang amat berharga itu dengan pelbagai kealpaan. Hingga tanggungjawab menjadi terasa amat berat dan Allah tidak memudahkan segala urusan kita..!
Kemenangan dakwah bukan terletak pada helaian kertas yang bertimbun. Tetapi ia terletak pada kembalinya orang yang ikhlas kepada ‘adat kebiasaan’ generasi awal. Bila hati menjadi suci dengan taubat dan mula dapat tersentuh dengan peringatan-peringatan yang diberi, maka ia akan menjadi penebus pada kesilapan semasa hasil kealpaan berpanjangan.Ini adalah satu syarat yang mesti
kadang kadang daie perlu berfikir, mengapa kesukaran kita menghadapi mad'u dengan pelbagai karenah...kadang kadang kerja dakwah kita tidak tersusun indah seperti mana penyusunan kita terhadap kerja peribadi atau kerja material..
inilah yang memungkinkan kita, kekuatan kita beribadah dimalam hari sebagai bekalan di siang hari. daie perlu menjaga dan berhubungan kuat dengan MAHA PENCIPTA untuk daie membina hubungan dengan manusia. seperti kisah kehebatan para sahabat, Sultan muhammad Al Fateh, Salahuddin Al Ayubi yang mencipta pengkisahan yang hebat dalam dunia Islam. Nilainya dari mana???????????bukankah dari MADRASAH MALAM
Ayuh kita sama sama check MADRASAH MALAM kita untuk menjadi kekuatan dalam dakwah dan pentarbiyahan.bukan sekadar kekuatan untuk berhujah dan berkata kata....